Spotify memperkenalkan satu ciri baharu dikenali sebagai “About the Song” dalam versi beta yang membolehkan pengguna melihat konteks, cerita dan maklumat di sebalik sesebuah lagu secara terus ketika ia dimainkan dalam aplikasi. Kandungan yang dipaparkan merangkumi latar belakang lagu, inspirasi penciptaan, fakta menarik dan konteks tertentu berkaitan karya berkenaan.
Ciri “About the Song” boleh diakses dengan membuka paparan Now Playing pada aplikasi mudah alih Spotify dan menatal ke bahagian bawah. Sekiranya lagu tersebut disokong, seksyen khas akan muncul di bawah kawalan mainan audio.
Spotify memaklumkan bahawa maklumat yang dipaparkan diringkaskan daripada pelbagai sumber pihak ketiga dan disusun untuk memberi kefahaman tambahan tanpa memerlukan pengguna meninggalkan aplikasi. Buat masa ini, “About the Song” masih berada dalam fasa beta dan hanya tersedia kepada pengguna Spotify Premium di beberapa pasaran terpilih.
Untuk makluman, tidak semua lagu menyokong ciri ini sepanjang tempoh ujian. Spotify turut menyediakan pilihan maklum balas dalam aplikasi bagi membolehkan pengguna menilai kandungan yang dipaparkan sebagai sebahagian daripada proses penambahbaikan sebelum pelancaran lebih meluas.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan ciri baharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Spotify

