Spotify mengumumkan akan menaikkan harga langganan Premium individu bermula September 2025 di beberapa pasaran global termasuk Asia Selatan, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Amerika Latin menjadikan Malaysia antara negara yang dijangka terlibat.
Menurut sumber, harga langganan Premium akan meningkat dari €10.99 kepada €11.99 sebulan iaitu sekitar RM62 mengikut kadar tukaran semasa. Bagaimanapun, harga rasmi untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan secara khusus. Spotify memaklumkan bahawa pelanggan sedia ada akan menerima notis e-mel dalam tempoh terdekat berkaitan perubahan ini.
Setakat ini, pelarasan hanya melibatkan pelan Premium individu. Pelan lain seperti Duo, Keluarga dan Pelajar belum dinyatakan sama ada turut terlibat. Kenaikan ini dibuat selepas syarikat mencatatkan kerugian bersih sebanyak €86 juta bagi suku kedua 2025 berpunca daripada kos operasi dan cukai yang meningkat.
Walaupun harga naik, pasaran saham memberikan reaksi positif dengan harga saham Spotify melonjak antara 3 hingga 8 peratus selepas pengumuman yang menunjukkan keyakinan pelabur terhadap strategi penjanaan pendapatan syarikat itu. Bagi pengguna di Malaysia, pelan Premium sebelum ini berharga RM15.90 sebulan dan dijangka meningkat seiring pelarasan global.
Pengguna disarankan untuk menyemak e-mel masing-masing bagi sebarang pemberitahuan rasmi daripada Spotify menjelang September. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reuters

