Site icon TechNave BM

Standard USB-C versi baharu dilancar, khas untuk pengecasan sehingga 240W

USB Implementers Forum (USB-IF), sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab menggariskan standard baru untuk palam USB, telah mengumumkan standard dan logo baharu untuk USB Type-C dan USB4. Standard ini dibuat berdasarkan spesifikasi USB PD (Power Delivery) 3.1 yang telah diumum pada bulan Mei lalu.

Standard ini bertujuan untuk membantu pengguna mengetahui kadar pengecasan atau pemindahan data yang boleh disokong melalui perantaraan USB tersebut. Logo baharu ini akan mempunyai perkataan 40Gbps untuk pemindahan data pantas, 240W untuk pengecasan pantas atau kedua-duanya sekali jika peranti terlibat menyokong kedua-dua fungsi.

Logo baharu ini dibahagikan untuk dua penggunaan iaitu untuk pembungkusan (packaging) produk, serta kabel atau port.

Standard ini diharap boleh menyeragamkan penamaan USB4. Sebelum ini, siri USB 3.0 telah menghasilkan skema nama yang sangat rumit untuk pengguna. USB 3.1 dibahagikan kepada Gen1 dan Gen2, kemudian USB 3.2 pula dinamakan sebagai USB 3.2 Gen2x2. Sebaik sahaja USB 3.2 diperkenalkan, USB 3.1 telah dinamakan sebagai USB 3.2 Gen2 manakala USB 3.0 pula dinamakan sebagai USB 3.2 Gen1.

Setakat ini masih tiada maklumat tentang aksesori atau peranti yang akan memaparkan logo ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan standard ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Business Wire

Exit mobile version