Site icon TechNave BM

StepX Neo tiba sebagai telefon pintar “agentic” pertama di dunia

Syarikat kecerdasan buatan (AI) China, StepFun, melancarkan StepX Neo sebagai telefon pintar pertama dunia yang menggunakan sistem operasi berasaskan ejen dikenali sebagai Step AOS. Peranti direka untuk menyelesaikan tugasan akhir-ke-akhir tanpa perlu pengguna membuka aplikasi secara berasingan atau memasukkan arahan berulang.

Sistem operasinya menggunakan ejen AI terbina dalam bernama Step Amoo yang beroperasi sepenuhnya secara luar talian untuk fungsi teras. Peranti ini mampu menterjemahkan perbualan langsung, mesej teks dan papan tanda dalam 32 bahasa serta dialek.

Step AOS dibangunkan dengan menggabungkan elemen Android, Linux dan RTOS bagi membolehkan ejen AI menguruskan komunikasi, aplikasi, fail, dan alatan sistem secara bebas. StepFun mendakwa StepX Neo mampu mempelajari tabiat pengguna untuk mengutamakan pilihan peribadi dalam tugasan seperti tempahan penerbangan atau restoran.

StepX Neo disokong oleh model asas Step Edge yang dioptimumkan untuk penggunaan kuasa pemprosesan peranti mudah alih. Bagi memastikan keselamatan, StepFun menyediakan sistem memori berasingan antara pengguna dan ejen serta rangka kerja audit untuk setiap tindakan.

StepX Neo hadir dengan integrasi perkhidmatan pihak ketiga merangkumi aplikasi perjalanan, pembayaran, e-panggilan dan penyuntingan kandungan seperti Ctrip, Alipay, Didi, Meituan, WPS, dan CapCut. Walau bagaimanapun, pihak StepFun masih belum mengeluarkan maklumat rasmi mengenai tarikh pasaran mahupun harga jualan peranti tersebut.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WallStreetCn

Exit mobile version