Site icon TechNave BM

Subsidi RON95 diketatkan? Kuota turun 200 liter, harga pasaran hampir RM4 seliter

Kerajaan dilaporkan merancang untuk mengurangkan kuota bulanan petrol bersubsidi RON95 bawah program Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan. Menurut sumber, pengumuman mengenai perubahan tersebut dijangka dibuat seawal minggu ini dan berkemungkinan berkuat kuasa mulai April.

RON95 bersubsidi di bawah skim itu kekal pada harga RM1.99 seliter, namun pengguna yang melebihi kuota 200 liter akan dikenakan harga pasaran terapung. Harga RON95 tanpa subsidi dijangka meningkat 60 sen kepada RM3.87 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April berbanding RM3.27 sebelum ini.

Sejak 11 Mac, harga RON95 tanpa subsidi telah meningkat sebanyak RM1.20 atau hampir 45% daripada RM2.67 seliter. Kenaikan harga bahan api turut melibatkan RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia. Harga RON97 dijangka melonjak kepada RM5.15 seliter, peningkatan keseluruhan RM1.90 atau 58.46% sejak 11 Mac manakala diesel pula meningkat kepada RM5.52 seliter, naik RM2.40 atau 76.92% dalam tempoh sama.

Langkah mengetatkan kuota subsidi itu dilihat sebagai usaha mengawal beban fiskal kerajaan ketika kos subsidi meningkat susulan ketidaktentuan harga minyak global. Anwar Ibrahim sebelum ini memberi amaran bil subsidi bahan api boleh mencecah RM24 bilion tahun ini sekiranya harga minyak mentah global kekal melebihi AS$110 setong.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent crude berada sekitar AS$94.49 setong iaitu lebih 33% tinggi berbanding AS$70.84 sebelum konflik Iran tercetus pada hujung Februari. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Edge

Exit mobile version