Acara Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bakal mencatatkan sejarah dalam negara apabila ia bakal menjadi SUKMA pertama yang disiarkan melalui teknologi 5G-Advanced (5G-A), membenarkan para penganjur untuk menyiarkannya dengan kependaman ultra-rendah (ultra-low latency) dan kecekapan yang lebih tinggi untuk siaran langsung.
Teknologi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama antara CelcomDigi, U Mobile, ZTE dan Radio Televiysen Malaysia (RTM) serta bakal diguna untuk menyiarkan majlis pembukaan yang akan berlangsung pada 17 Ogos 2024 di Stadium Sarawak. Syarikat-syarikat itu juga bekerjasama dengan Sarawak Digital Economy Corporate Berhad (SDEC) yang menyediakan fibre backhaul.
Ia bakal menggunakan teknologi mmWave AAU oleh ZTE yang menawarkan bandwith terbesar dan susunan 1,024 antena, Carrier Aggregation, Cluster Dynamic Frequency Selection dan Native AI Intelligent RAN. Semua teknologi ini membenarkan satu sel untuk mencapai kapasiti melebihi 30 Gbps, manakala pengguna individu pula boleh mencapai kelajuan sehingga 8.5 Gbps.
Orang ramai dijemput hadir ke 5G-A Pavilion di Stadium Sarawak bagi melihat dan memahami teknologi ini. Pada Mei lalu, ZTE telah mencatatkan rekod baharu dalam Malaysian Book of Records di mana dalam sebuah demonstrasi langsung, mereka menggunakan teknologi 5G-A untuk mencapai kelajuan muat turun sehingga 28.0 Gbps.
Kongsi pendapat anda tentang teknologi baharu ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

