Site icon TechNave BM

Syarikat adik Pablo Escobar cabar Samsung dengan memperkenalkan klon Galaxy Fold

Siapa sangka nama keluarga Escobar akan digunakan dalam industri telefon pintar? Akan tetapi itulah yang dilakukan oleh Roberto Escobar, adik kepada pengedar dadah terkenal Pablo Escobar, dengan membina dan menjual sendiri telefon pintarnya di bawah syarikat Escobar Inc.

Telefon pintarnya pula bukan sekadar telefon, ia adalah telefon lipat serupa seperti Samsung Galaxy Fold. Escobar Inc telah melancarkan telefon pertamanya, Escobar Fold 1, pada Disember 2019 dan hanya dua bulan kemudian, sekuel kepadanya sudah pun dilancarkan iaitu Escobar Fold 2.

Dalam sebuah iklan yang agak berani, beberapa wanita separuh bogel memusnahkan Galaxy Fold dengan teks ‘R.I.P Samsung’ dipaparkan secara jelas. Dalam iklan lain pula, beberapa individu termasuk penasihat kempen Donald Trump menyatakan galakan mereka untuk Escobar Fold 2.

Daripada segi spesifikasi, ia sebenarnya tidak jauh beza dengan Galaxy Fold. Akan tetapi, harganya lebih murah iaitu US$399 atau ~RM1650. Masih tidak jelas bagaimana Escobar Inc boleh menawarkan harga yang begitu murah untuk telefon mirip Galaxy Fold.

Apakah pendapat anda tentang telefon unik ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmodo

Exit mobile version