Site icon TechNave BM

Tablet “Gaming” Lenovo Legion Y700 diumum: Miliki skrin 8.8” 120Hz dan Dolby Atmos

Minggu lalu, Lenovo mengeluarkan imej pengacah tablet dengan jenama Legion tertera yang mendedahkan sebahagian reka bentuknya. Kini, Lenovo telah melancarkan peranti itu secara rasmi. Menurut laporan ITHome, peranti ini akhirnya dilancarkan oleh Lenovo dan dipanggil Lenovo Legion Y700 Gaming Tablet.

Dengan penjenamaan Legion, jelas bahawa tablet ini dihasilkan khas kepada pemain yang bermain game mudah alih. Ia hadir dengan skrin 8.8 inci beresolusi 2560 × 1600p, kadar segar semula 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 240Hz dan menyokong gamut warna 100% DCI-P3.

Poster pratonton mendedahkan bahawa bezel Legion Y700 adalah tidak sama lebar. Selain itu, terdapat juga kamera tunggal dengan denyar di bahagian belakangnya. Imej acahan sebelum ini telah mendedahkan bahawa tablet ini menampilkan reka bentuk segi empat tepat dengan kemasan logam bercorak berus untuk penampilan yang lebih premium.

Selain itu, syarikat kejuruteraan audio dan pengimejan juga terlibat dalam penghasilan tablet ini seperti JBL, Dolby Vision dan Dolby Atmos. Legion Y700 berkemungkinan juga menampilkan pembesar suara yang benar-benar berkualiti tinggi untuk pengalaman gaming yang hebat.

Lenovo belum lagi memberikan butiran lanjut tentang tablet ini tetapi sebagai peranti yang menfokuskan gaming, kami menjangkakan ia akan dilengkapi Snapdragon 8 Gen 1 yang terbaharu. Kami masih menunggu spesifikasi rasmi tablet ini daripada Lenovo.

Adakah anda berminat dengan sebuah tablet Lenovo Legion? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version