Site icon TechNave BM

Tablet LG muncul dalam penyenaraian Geekbench, miliki SD680 dan bateri 7,000mAh

Tablet LG yang akan datang dengan nama kod Project Jetta telah muncul dalam talian. Ia akan dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 680 dan akan memuatkan bateri berkapasiti 7,000mAh.

Tablet LG dengan nombor model LGE 10A30Q akan mempunyai paparan 10.3 inci dan konfigurasi RAM 4GB serta storan 128GB. Peranti ini akan beroperasi pada Android 12 dan pelancaran untuk pasaran global belum diketahui. Untuk pengetahuan, LG telah keluar daripada pasaran telefon pintar pada tahun 2021.

Namun, ia tidak menghalang syarikat tersebut daripada membangunkan peranti berasaskan Android lain seperti tablet. Butiran mengenai Projek Jetta LG telah disiarkan di forum teknologi Korea Selatan. Ia mengesahkan kewujudan tablet LG baharu untuk tujuan pendidikan.

Tablet tersebut telah muncul di Geekbench dan mendapat pensijilan Wi-Fi Alliance. Persediaan kamera tablet ini terdiri daripada kamera swafoto 5MP dan kamera belakang 8MP. LG masih belum mengeluarkan sebarang butiran rasmi mengenai LGE 10A30Q. Jadi, harga, tarikh keluaran dan ketersediaannya masih tidak diketahui pada masa ini.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version