Site icon TechNave BM

Tablet Nokia T21 dilancar: UNISOC T612, skrin 2K dan bateri 8,200mAh berharga ~RM960

HMD Global iaitu syarikat di sebalik peranti berjenama Nokia baru-baru ini mengumumkan dua telefon pintar peringkat permulaan baharu di Indonesia dikenali sebagai Nokia C21 Plus dan Nokia C31. Bersama-sama dengan dua telefon pintar itu, Nokia juga telah melancarkan tablet baharu.

Walaupun tablet Nokia T21 diumumkan beberapa bulan yang lalu ia kini akhirnya telah dilancarkan secara rasmi. Tablet ini dilengkapi dengan badan aluminium dan 60 peratus plastik kitar semula untuk antena. Ia menampilkan skrin LCD IPS 10.36 inci dengan resolusi 2000 x 1200 piksel dan kecerahan 400 nits.

Nokia T21 dikuasakan oleh cipset UNISOC T612, GPU Mali-G57, LPDDR4 RAM 4GB serta terdapat pilihan storan 64GB dan 128GB dengan slot kad mikroSD sehingga 512GB. Peranti ini mempunyai kamera belakang autofokus 8MP dengan denyar LED. Di bahagian hadapan, terdapat kamera swafoto 8MP serta mendapat penarafan IP52 untuk rintangan habuk dan air.

Ia juga menjalankan sistem pengendalian Android 12 dan Nokia menyediakan dua tahun peningkatan Android dan sehingga tiga tahun kemas kini keselamatan bulanan. Ia dikuasakan oleh bateri 8,200mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W. Ia hadir dalam satu warna sahaja iaitu kelabu dan berharga 3299000 rupiah Indonesia (~RM960).

Adakah anda berminat dengan tablet ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version