Site icon TechNave BM

Tabung Haji kini tampil online: Semak cara-cara mendaftar akaun online melalui THiJARI

Dalam kesibukan Malaysia menjana perkhidmatan 5G, kebanyakan organisasi juga mengambil langkah menyediakan perkhidmatan dalam talian. Terkini, Tabung Haji juga tampil dengan perkhidmatan dalam talian THiJARI.

THiJARI boleh dilayari melalui capaian ini. Jika anda tertanya-tanya apakah urusan yang boleh dilakukan melalui portal ini, kami ada jawapannya. Anda kini boleh melakukan urusan penyimpanan dan pengeluaran, urusan haji dan urusan Kelab Taha/Taha@U.

Sebelum melakukan urusan dalam talian melalui THiJARI, pastikan anda telah mengemaskini butiran anda dulu di kaunter Tabung Haji terutamanya nombor telefon bimbit anda. Nombor telefon bimbit anda adalah perlu untuk nombor pengesahan (TAC) yang akan dihantar semasa anda log in. Namun, untuk yang sudah mengemaskini, anda boleh mendaftar THiJARI tanpa perlu ke kaunter Tabung Haji.

Usah bimbang kerana cara untuk menggunakan THiJARI adalah mudah. Gambar di bawah pula merupakan cara menggunakan THiJARI yang boleh didapati di portal rasminya.

Portal ini boleh mula digunakan sejak pelancarannya semalam, 5 Februari 2020. Sumber melaporkan Tabung Haji menawarkan hadiah pakej umrah dan wang tunai RM300,000 sempena kempen #simpandaftardanmenang jika anda membuka akaun atau menambah simpanan RM5,000 serta mengekalkan jumlah simpanan untuk tempoh kempen dari Mei hingga Julai 2020.

Untuk maklumat lanjut, klik pada capaian ini. Adakah anda telah mendaftar THiJARI? Beritahu kami di laman Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Harian Metro | THiJARI

Exit mobile version