Satu tinjauan oleh SellCell mendapati tahap kesetiaan pengguna terhadap Apple terus meningkat dengan 96.4% pengguna iPhone dijangka kekal menggunakan jenama sama untuk pembelian seterusnya. Kajian melibatkan lebih 5,000 pengguna telefon pintar di Amerika Syarikat itu turut menunjukkan hanya 3.6% pengguna iPhone merancang untuk beralih ke Android.
Sebaliknya, dalam kalangan pengguna Android, sebanyak 13.6% menyatakan hasrat untuk beralih ke iPhone bersamaan kira-kira 3.7 kali lebih tinggi berbanding pergerakan arah bertentangan. Data turut menunjukkan peningkatan ketara dalam loyaliti iPhone sejak beberapa tahun lalu yang naik daripada 90.5% pada 2019 kepada 96.4% pada 2026 dengan lonjakan terbesar berlaku selepas 2021.
Faktor utama pengguna kekal dengan iPhone adalah sistem operasi iOS dengan 60.8% responden memilih sebab ini. Selain itu, 17.4% menyatakan mereka terikat dengan ekosistem Apple diikuti faktor kebolehpercayaan produk, kemudahan penggunaan serta kepercayaan terhadap aspek keselamatan dan privasi.
Bagi pengguna iPhone yang mempertimbangkan untuk beralih ke Android, harga dikenal pasti sebagai faktor utama. Perlu diingatkan bahawa kajian ini tidak mewakili pembeli di seluruh dunia memandangkan kajian hanya dilakukan dalam satu negara sahaja. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: SellCell

