Tecno secara senyap-senyap telah menyenaraikan Camon 50 Slim pada laman global mereka yang mendedahkan hampir keseluruhan spesifikasi dan ciri telefon tersebut. Buat masa ini, harga serta ketersediaan masih belum diumumkan. Menariknya, peranti hanya menyokong rangkaian 4G LTE yang memberi bayangan ia mungkin ditawarkan untuk pasaran terpilih.
Tarikan utama Camon 50 Slim semestinya pada rekaan ultra nipis dengan ketebalan hanya 6.39mm digabungkan dengan binaan badan melengkung untuk penampilan yang lebih premium dan selesa dipegang. Pada bahagian belakang, Tecno turut menambah sistem LED sekunder yang disepadukan pada modul kamera.
Ia berfungsi bersama ciri AI Mood Light yang menggunakan 354 mini-LED dengan pelbagai kesan pencahayaan untuk notifikasi dan interaksi visual. Walaupun nipis, telefon masih dimuatkan dengan bateri 5,600mAh yang menyokong pengecasan pantas 60W. Tecno turut mendakwa bateri tersebut direka untuk mengekalkan ketahanan penggunaan sehingga lima tahun.
Ciri lain yang ditawarkan termasuk pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, NFC, pemancar inframerah (IR blaster), penarafan kalis air dan debu IP68 + IP69, pensijilan ketahanan bertaraf tentera, serta sokongan microSD sehingga 2TB. Untuk pilihan warna, Tecno menawarkan New Mondrian, Prism Black, Jungle Green, Van Gogh Blue dan Burgundy Red.
Dengan kombinasi badan ultra nipis dan bateri besar, Camon 50 Slim nampaknya cuba tampil berbeza dalam segmen pertengahan. Cuma persoalan sekarang, adakah 4G masih cukup menarik untuk tahun 2026? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

