Site icon TechNave BM

TECNO Spark 9T dilancar: Cipset Helio G37, skrin LCD 60Hz 6.6″ dan bateri 5,000mAh bermula ~RM828

TECNO telah melancarkan Spark 9 Pro dengan menampilkan paparan 90Hz, cipset Helio G85 dan bateri 5,000mAh pada awal bulan ini. Jenama ini kemudiannya mendedahkan satu lagi siri 9 iaitu Spark 9T. Berikut adalah butiran spesifikasi bagi telefon pintar Spark 9T.

Spark 9T mempunyai skrin IPS LCD 6.6 inci yang memberikan resolusi FHD+ dan kadar penyegaran semula 60Hz. Terdapat takuk titisan air mata (teardrop notch) di skrin hadapan menempatkan kamera swafoto 8MP.

Di bahagian belakang pula menunjukkan tri-kamera yang mempunyai dua cincin kamera bersaiz besar. Ia membawa kamera utama 13MP, sensor kedalaman 2MP dan lensa AI. Peranti ini akan menggunakan antara muka (UI) HiOS 8.6 berdasarkan sistem operasi (OS) Android 12.

Peranti ini mempunyai cipset MediaTek Helio G37, hadir dengan RAM 4GB, storan sehingga 128GB dengan sokongan kad memori mikroSD, bateri 5,000mAh dan pengecasan 10W. Ciri-ciri lain termasuk pengimbas cap jari di bahagian sisi, port USB-C dan bicu audio 3.5mm.

Buat masa ini, Spark 9T hanya berada dalam pasaran Nigeria. Ia hadir dalam dua varian iaitu RAM 4GB + storan 64GB berharga NGN 78,300 (~RM828) dan RAM 4GB + storan 128GB berharga NGN 88,000 (~RM931). Dengan pilihan warna Atlantic Blue, Turquoise Cyan, Iris Purple dan Cocoa Gold, Spark 9T dijangka akan dilancarkan di negara lain dalam beberapa minggu akan datang.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version