TECNO memperlihatkan telefon konsep Next-Gen Bezelless menjelang kemunculan pertamanya di acara IFA 2026. Ia dibangunkan untuk menghapuskan garisan hitam di sekeliling paparan skrin yang biasanya terdapat pada telefon pintar dan menawarkan bingkai paparan bersaiz 0mm atau 0 mikron.
Pada masa ini, kebanyakan telefon pintar mercu masih mempunyai sempadan hitam tidak aktif bersaiz antara 1mm hingga 2mm akibat keperluan litar paparan dan struktur pembungkusan panel. Bagi mencapai rekaan tanpa bingkai hitam ini, TECNO mendakwa telah mereka semula seni bina dalaman telefon secara menyeluruh.
Kejuruteraan tersebut melibatkan teknik penyusunan komponen dalaman yang baharu, susun atur struktur terkini serta pembungkusan paparan tersuai untuk memuatkan pemacu paparan, antena, sensor, pembesar suara dan kamera tanpa menjejaskan ketahanan peranti.
Hasil daripada rekaan skrin bezelles, kandungan video, permainan dan paparan aplikasi dapat memenuhi ruang hadapan peranti tanpa sebarang gangguan visual pada bahagian tepi. Pembangunan teknologi berasaskan konsep ini juga dijangka mempengaruhi rekaan kamera, kawalan sentuhan, rekaan audio dan antaramuka pengguna bagi telefon pintar akan datang.
TECNO mengesahkan bahawa telefon konsep Next-Gen Bezelless bakal ditayangkan secara rasmi kepada umum sewaktu perhimpunan teknologi IFA 2026 kelak. Mereka bagaimanapun tidak menyatakan sebarang jadual pengeluaran komersial untuk peranti berkenaan buat masa ini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

