Site icon TechNave BM

Tecno umumkan Phantom Ultimate, telefon pintar dengan skrin boleh gulung

Tecno telah mengumumkan konsep teknologi baharu untuk telefon pintarnya iaitu Tecno Phantom Ultimate. Peranti ini mempunyai skrin boleh gulung (rollable) yang boleh dibesarkan daripada 6.55 inci kepada 7.11 inci dalam masa 1.3 saat.

Di dalam, telefon ini mempunyai sebuah motor yang boleh membuka gulungan skrinnya selepas pengguna menekan sebuah butang yang berada di bahagian atas kanan telefon. Ini akan meningkatkan saiz skrin dengan nisbah aspek yang lebih besar berbanding telefon pintar biasa.

Apabila skrin ini dibuka penuh, ia berukuran 7.11 inci dengan resolusi 2,296 x 1,596. Ia mempunyai panel LTPO AMOLED dengan gamut warna DCI-P3 100% dan ketumpatan piksel 388 piksel per inci (ppi).

Skrin telefon ini boleh dibesarkan daripada 6.55 inci kepada 7.11 inci apabila “gulungan skrin” dibuka

Ia mempunyai ketebalan 9.93mm, namun Tecno mengatakan telefon ini masih selesa dipegang dengan satu tangan. Ia turut mempunyai kaca perlindungan pada bahagian skrin yang digulung, serta bahagian belakang yang mempunyai tekstur khas untuk genggaman yang lebih kesat.

Setakat ini Tecno Ultimate hanyalah sekadar sebuah produk konsep dan syarikat itu masih tidak menyatakan sama ada ia akan dijual secara komersial. Sebelum ini, LG juga pernah mengumumkan produk yang serupa iaitu LG Rollable, namun syarikat itu menutup divisyen telefon pintarnya tidak lama kemudian lantas menamatkan kemajuan produk tersebut.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version