Site icon TechNave BM

Telefon “gaming” Redmi mungkin akan dilengkapi skrin OLED E4 144Hz, cas pantas 67W

Redmi sudah pun mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan telefon gaming pertama pada hujung bulan ini di China, namun setakat ini masih tiada spesifikasi yang disahkan oleh jenama tersebut. Kini terdapat khabar terbaru tentang telefon gaming Redmi itu yang bakal dilengkapi spesifikasi tahap andalan (flagship).

Menurut sumber, ia akan dilengkapi skrin OLED Samsung E4 yang banyak dilengkapi dalam peranti andalan jenama lain. Skrin tersebut bakal mempunyai kadar segar semula 144Hz dengan kamera swafoto yang berada di bahagian atas tengah skrin.

Daripada segi bateri, telefon itu dikhabarkan akan dilengkapi bateri 5,000mAh dan pengecasan pantas 67W. Bagi memudahkan kegunaan gaming, bucu telefon itu akan dilengkapi butang fizikal seperti dalam telefon Black Shark 4.

Sebelum ini, telefon gaming Redmi dikatakan akan dilengkapi cipset andalan MediaTek Dimensity 1200 dan syarikat itu merancang untuk menjualnya pada harga yang lebih murah daripada para pesaing.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon gaming Redmi dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Mydrivers

Exit mobile version