Site icon TechNave BM

Telefon gulung pertama di dunia dari TCL tertiris dalam sebuah video

Sejak akhir-akhir ini, teknologi telefon lipat tidak lagi menjadi sebuah perkara bualan ramai. Walaupun ianya adalah teknologi yang mengagumkan, namun harga premium yang diletakkan pada peranti lipat ini menjadikannya sebuah teknologi yang khas kepada golongan tertentu sahaja.

Baru-baru ini, sebuah lagi teknologi yang menarik iaitu telefon dengan skrin boleh gulung pula menjadi perbualan orang ramai. Skrin ini akan memanjang apabila diperlukan dan boleh dipendekkan sekiranya ingin menggunakannya sebagai sebuah telefon bersaiz normal.

Terbaru, sebuah video tular di laman media sosial menunjukkan sebuah peranti dari TCL yang hadir dengan skrin gulung. Ini bukan kali pertama telefon gulung dari TCL ini ditunjukkan kerana pada awal tahun ini, mereka sudah menunjukkan peranti konsep mereka yang hadir dengan teknologi ini.

Video ini menunjukkan sebuah telefon dengan skrin saiz 6.7 inci AMOLED yang boleh gulung. Skrin telefon ini boleh bertukar dari 4.5 inci ke 6.7 inci apabila ditarik ke atas. Terdapat dua engsel pada kedua-dua bahagian telefon untuk membolehkan skrin tersebut untuk menggulung keluar, memanjang seperti sebuah skrol.

Sebelum ini, terdapat juga sumber yang menyatakan bahawa Samsung dan LG akan menghasilkan sebuah peranti gulung tidak lama lagi. Samsung telah menunjukkan prototaip skrin gulung ini sejak tahun 2016 tetapi masih tiada lagi kenyataan rasmi mengenai telefon skrin gulung setakat ini.

Adakah TCL bakal melancarkan telefon gulung ini lebih awal dari Samsung dan LG? Nantikan berita lanjut mengenai hal ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : IT Home

Exit mobile version