Site icon TechNave BM

Telefon OnePlus akan dilengkapi perisian OPPO ColorOS bermula 2022, gantikan OxygenOS

CEO OnePlus, Pete Lau, telah mengesahkan bahawa telefon pintar andalan OnePlus akan dilengkapi dengan perisian ColorOS bermula tahun hadapan. Syarikat itu akan menggabungkan kod dalam perisian buatannya sendiri, OxygenOS, dengan kod dalam ColorOS.

ColorOS adalah perisian berasaskan sistem operasi Android yang dilengkapi dalam setiap telefon OPPO. Pada bulan Jun lalu, OnePlus telah mengumumkan bahawa mereka akan bergabung dengan OPPO bagi menghasilkan produk yang lebih baik untuk para pelanggannya. Kedua-dua syarikat adalah jenama teknologi yang berada di bawah naungan konglomerat BBK Electronics.

Pete menjamin kepada para peminat OnePlus bahawa sistem operasi baru ini masih beroperasi dengan lancar dan ringan seperti OxygenOS, namun akan dilengkapi pelbagai fungsi baharu yang terdapat dalam ColorOS. OnePlus akan mengekalkan antara muka (interface) yang unik dalam OxygenOS bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Di samping itu, Pete juga mengesahkan bahawa mereka tidak akan melancarkan OnePlus 9T pada tahun ini. Sebelum ini, OnePlus telah memperkenalkan varian OnePlus T untuk setiap telefon andalan mereka sejak 2016, di mana yang terakhir adalah OnePlus 8T yang dilancar pada 2020.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version