Site icon TechNave BM

Telefon pintar bakal guna teknologi elektrokromik, ubah warna panel belakang ikut kesukaan anda

Pada bulan Januari tahun ini, OnePlus telah perkenalkan sebuah telefon konsep, Concept One dengan panel belakang kaca yang dilengkapi teknologi elektrokromik. Teknologi ini digunakan pada telefon Concept One untuk menyembunyikan kamera belakangnya.

Sumber terbaru menyatakan bahawa syarikat Vivo, Xiaomi, Meizu dan Nubia sedang berusaha untuk menghasilkan telefon yang hadir dengan teknologi elektrokromik. Katanya, percubaan teknologi ini pada telefon mereka sudah mula dilakukan.

Teknologi ini menggunakan aloi tidak kelihatan (invisible alloy) yang dipanggil tungsten oksida. Apabila tungsten oksida ini digunakan pada kaca, permukaan itu boleh mengalirkan elektrik dan cas yang dilalui dapat mengubah komposisi molekul kaca, menghasilkan pelbagai warna yang cantik.

Dalam bahasa yang mudah, pengguna boleh mengubah warna dan ketelusan panel belakang telefon pintar mengikut kesukaan. Bukan itu sahaja, pengguna boleh menggunakan perubahan warna panel belakang sebagai notifikasi kedatangan panggilan, mesej atau kecemasan.

Concept One

Buat masa ini, teknologi elektrokromik ini sedang digunakan pada bangunan, kapal terbang dan kaca automotif.

Adakah anda meminati teknologi ini? Nantikan berita lanjut mengenai hal ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber : Gizmochina

Exit mobile version