Site icon TechNave BM

Telefon pintar ini dilengkapi bateri 10,000mAh tetapi masih kekal dengan saiz yang kecil dan harga serendah ~RM600

Daripada luar, telefon pintar Doogee N100 nampak seperti mana-mana telefon flagship yang dibina oleh syarikat elektronik lain. Namun, ia dilengkapi satu spesifikasi yang amat menakjubkan iaitu bateri besarnya yang berkapasiti 10,000mAh. Sebagai rujukan, Samsung Galaxy S20 Ultra yang baru diumumkan mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh sahaja.

Dan yang lebih menarik adalah walaupun dengan bateri berkapasiti tinggi, telefon itu masih mempunyai bentuk yang kecil dan mudah dibawa ke mana-mana. Ini adalah bertentangan dengan telefon lain yang mempunyai bateri besar seperti P18K Pop oleh Energizer sebelum ini yang mempunyai bateri 20,000mAh tetapi hadir dalam sebuah bentuk seperti bata pembinaan.

Jika dilihat pada spesifikasinya yang lain, ia tidaklah dilengkapi dengan pemproses atau skrin yang bertaraf tinggi jadi ia tidak akan memerlukan banyak tenaga. Tidak mustahil untuk telefon ini beroperasi sehingga tiga atau empat hari dengan pengecasan penuh.

Malahan harganya pula agak berpatutan, iaitu US$140 (~RM586). Setakat ini ia masih dalam peringkat pra-tempahan dan ia akan dihantar kepada pelanggan bermula September ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk memiliki telefon unik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmodo

Exit mobile version