Site icon TechNave BM

Telefon Samsung Galaxy A mungkin tidak sertakan pengecas dalam kotak bermula tahun ini

Telefon pintar andalan oleh Samsung dan Apple kini terkenal dengan ketiadaan pengecas dalam kotaknya, termasuklah untuk siri terbaru Samsung Galaxy S22 dan iPhone 13. Kini, isu ketiadaan pengecas dalam kotak itu mungkin akan berlaku untuk telefon kelas pertengahan Samsung pula.

Menurut SamMobile, beberapa pengedar produk di Eropah telah mengesahkan bahawa beberapa telefon pintar Samsung Galaxy A tidak akan disertakan bersama pengecas di dalam kotak. Ini termasuklah untuk Galaxy A13 dan Galaxy A23 yang baru dilancar semalam.

Perkara ini masih belum disahkan oleh Samsung, namun memandangkan pelanggan kini sudah pun menerima hakikat bahawa telefon pintar andalan yang mahal tidak lagi disertakan bersama pengecas, ia mungkin akan dilanjutkan untuk telefon kelas pertengahan juga.

Pada tahun lalu, Samsung telah melancarkan siri Galaxy A32, A52 dan A72 pada bulan Mac 2021, jadi kita boleh jangkakan waktu yang serupa pada tahun ini untuk Galaxy A33, A53 dan A73.

Adakah anda bersetuju dengan langkah ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version