Site icon TechNave BM

Telefon Xiaomi, Redmi di China kini tidak boleh menggunakan servis Google

Terkini, beberapa pengguna telefon pintar Xiaomi di pasaran China telah bersuara mengenai isu Google Mobile Services (GMS) yang tidak dapat dimuat turun pada telefon mereka. Bukan itu sahaja, beberapa pengguna Redmi turut terkesan dan Xiaomi kini hadir dengan maklum balas mengenainya.

Melalui aduan oleh pengguna, beberapa model Xiaomi dan Redmi di pasaran China mengalami masalah untuk memuat turun aplikasi Google termasuklah Redmi K30 Extreme Commemorative Edition dan Redmi 10X 5G.

Menurut Xiaomi, MIUI kini tidak akan menyokong muat turun atau pemasangan GMS sendiri oleh pengguna di atas sebab pematuhan tertentu. Xiaomi tidak memberikan maklumat tentang model khusus yang terkesan dengan isu ini. Namun, model telefon Xiaomi yang sememangnya hadir dengan GMS tidak terjejas, hanya model telefon di pasaran China yang perlu memuat turun GMS sendiri sahaja yang terjejas.

Setakat ini, pengguna Xiaomi dan Redmi di Malaysia dilihat tiada isu sebegini memandangkan peranti rasmi di Malaysia sememangnya hadir dengan aplikasi GMS. Beritahu kami pandangan anda mengenai hal ini di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: CNMO

Exit mobile version