Site icon TechNave BM

Telegram bakal lancarkan ciri Stories pada awal Julai ini

Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov mengumumkan bahawa aplikasi pemesejan itu akan menambah ciri Stories pada awal Julai. Pada permulaanya, syarikat itu tidak ingin menambah ciri tersebut kerana ia “sudah berada di mana-mana” tetapi atas permintaan orang ramai, akhirnya Stories dibangunkan.

Pengguna boleh memilih siapa yang boleh melihat sama ada semua orang, kenalan, beberapa kenalan terpilih atau senarai rakan rapat. Stories akan diletakkan dalam bahagian yang boleh dikembangkan di bahagian atas senarai sembang anda.

Pengguna akan dapat menyembunyikan Stories yang disiarkan oleh mana-mana kenalan dengan mengalihkannya ke senarai “Tersembunyi” dalam bahagian Kenalan mereka dan bukannya skrin utama.

Ciri Stories ini memberikan pengguna pilihan untuk menambah kapsyen, pautan, menandakan (tag) orang lain seperti dalam Instagram. Yang memberikan sedikit kelainan adalah anda boleh memilih masa tamat tempoh Stories sama ada 6, 12, 24, 48 jam atau biarkan ia kekal pada halaman profil anda.

Durov percaya ciri itu akan “menyertakan era baharu di Telegram” dan akan membolehkan platform itu menjadi lebih sosial daripada sekarang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version