Site icon TechNave BM

Telegram naikkan jumlah penonton panggilan video kepada 1,000 orang

Aplikasi pemesejan popular Telegram telah memperkenalkan fungsi baharu untuk panggilan video iaitu peningkatan jumlah penonton kepada 1,000 orang. Buat masa ini, panggilan video hanya boleh disertai sehingga 30 orang, namun jumlah pengguna yang boleh menontonnya telah dinaikkan kepada 1,000.

Ini pasti boleh dimanfaatkan oleh pengguna yang ingin menganjurkan panggilan video dengan audiens yang besar, seperti kelas dalam talian atau persembahan muzik.

Selain itu, Video Messages kini boleh dihantar dengan resolusi yang lebih jelas dan boleh dirakam tanpa memberhentikan audio lain yang sedang dimainkan, seperti muzik atau podcast. Video Message adalah fungsi khas yang membenarkan pengguna untuk kongsi mesej dalam bentuk video pendek, dan penerima boleh menontonnya tanpa perlu dimuat turun ke dalam telefon.

Telegram juga memperkenalkan fungsi kawalan kelajuan untuk video, di mana ia boleh dimainkan pada kelajuan 0.5x, 1.5x atau 2x, manakala pengguna Android akan menerima satu lagi kelajuan iaitu 0.2x.

Untuk panggilan video peribadi, pengguna kini boleh menyertakan audio daripada telefon ke dalam panggilan video mereka, seperti lagu atau efek bunyi. Selain itu, mesej juga boleh ditetapkan untuk hilang secara automatik selepas sehari, seminggu atau sebulan.

Pengguna juga boleh menyunting gambar dengan lebih teliti, melihat animasi baru untuk fungsi tertentu, kawalan zum kamera yang lebih halus untuk pengguna iOS dan emoji baru yang beranimasi.

Kongsi pendapat anda tentang fungsi-fungsi baru Telegram ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Telegram

Exit mobile version