HUAWEI secara rasmi membuka tempahan tablet baharu HUAWEI MatePad 12 X (2026) di Malaysia bermula 6 Januari 2026, bersama pengenalan stylus generasi baharu HUAWEI M-Pencil Pro. HUAWEI MatePad 12 X (2026) menumpukan kepada penggunaan produktiviti setara PC dalam bentuk tablet.
Peranti ini hadir dengan PC-level WPS Office 3.0 yang dipasang siap, menyokong fungsi lanjutan seperti penyuntingan carta, formula matematik kompleks, lampiran dokumen dalam fail serta penyelarasan masa nyata antara dokumen. Carta yang disalin antara fail kekal boleh diedit tanpa kehilangan format asal.
Tablet ini boleh digunakan bersama HUAWEI Smart Magnetic Keyboard dan tetikus Bluetooth untuk pengalaman penggunaan menyerupai komputer riba. HUAWEI MatePad 12 X (2026) menggunakan HarmonyOS dan dilengkapi paparan 12 inci Ultra-clear PaperMatte Display dengan permukaan anti-silau dengan pengurangan sparkle sehingga 50 peratus bagi keselesaan penggunaan.
Bagi input stilus, HUAWEI M-Pencil Pro menyokong 16,384 tahap tekanan, latensi rendah dan pengesanan gerakan yang dipertingkat. Ia menyokong kawalan berasaskan gestur termasuk butang akses pantas di bahagian ekor untuk membuka aplikasi tertentu, kawalan putaran untuk pelarasan saiz dan ketebalan garisan serta menu radial melalui gestur cubit.
Tiga jenis hujung pen turut disertakan untuk pilihan rasa penulisan berbeza. Peranti ini juga menyokong aplikasi seperti HUAWEI Notes, GoPaint, PC-level WPS Office 3.0 dan Wondershare Filmora. Di Malaysia, HUAWEI MatePad 12 X (2026) ditawarkan pada harga RM2,499, manakala HUAWEI M-Pencil Pro dijual pada harga RM599.
Tempahan dibuka di HUAWEI Experience Store, laman web rasmi HUAWEI, HUAWEI Official Store di Shopee, HUAWEI Flagship Store di Lazada dan HUAWEI Official TikTok Shop. Setiap tempahan bakal menerima hadiah bernilai RM1,047 merangkumi HUAWEI M-Pencil Pro, tetikus Bluetooth dan lesen PC-level WPS Office 3.0.
Selain itu, pengguna turut layak menerima manfaat AppGallery bernilai sehingga RM2,401 melalui pelbagai promosi rakan kerjasama terpilih. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

