Site icon TechNave BM

Tentera Amerika beli data lokasi pengguna aplikasi Muslim Pro untuk cegah keganasan

Jika anda memuat turun aplikasi Muslim Pro dan menggunakannya, anda mungkin ingin membuangnya setelah mengetahui berita ini. Sumber melaporkan tentera Amerika Syarikat (AS) telah membeli maklumat data lokasi pengguna aplikasi Muslim Pro. Aplikasi ini kini dimuat turun oleh 90 juta pengguna di seluruh dunia.

Sepintas lalu, Muslim Pro ialah aplikasi yang memberi peringatan tentang waktu solat dan al-Quran. Muslim Pro disifatkan sebagai salah satu aplikasi di telefon pintar yang menjual data lokasi mereka. Antara aplikasi lain yang turut menjual data lokasi pengguna adalah aplikasi senaman dan pengesanan cuaca yang tertentu.

Aplikasi ini dilapor menjual data lokasi pengguna kepada X-Mode. X-Mode kemudiannya menjual data tersebut kepada pihak ketiga; kontraktor pertahanan yang seterusnya membekalkan data tersebut kepada Jabatan Pertahanan AS.

Menurut sumber, X-Mode sememangnya menjalankan perniagaan dengan kontraktor tentera yang berfokuskan keselamatan siber, menentang keganasan dan meramalkan kawasan panas COVID-19.

Setakat ini, Muslim Pro masih tidak memberi sebarang maklum balas mengenai isu penjualan data lokasi pengguna.

Adakah anda salah seorang pengguna aplikasi Muslim Pro? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Business Insider

Gambar sekadar hiasan dari Deposit Photos

Exit mobile version