Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nording mengingatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya tidak memuat naik kandungan yang sensitif ke media sosial, terutamanya kandungan yang mempunyai maklumat tentang aset keselamatan. Ini adalah supaya musuh-musuh negara tidak mengetahui kekuatan pertahanan negara.
Beliau berkata sesetengah ahli tentera mungkin ghairah untuk menunjukkan latihan mereka, alatan yang digunakan serta tempat simpanan alatan. Semua maklumat ini mungkin akan digunakan oleh pihak yang tidak baik untuk menilai kekuatan pertahanan negara.
Kenyataan ini dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim baru-baru ini turut menitahkan nasihat yang sama kepada warga ATM, khususnya perkongsian maklumat mengenai pasukan lokasi gerakan dan maklumat sensitif pasukan. Baginda mahu sebarang perkongsian maklumat ketenteraan dalam media sosial dihentikan serta-merta.
Baginda turut memberi contoh bagaimana Iran dan Israel memperoleh maklumat daripada syarikat teknologi awam, aplikasi pintar dan media sosial untuk melakukan serangan.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

