Site icon TechNave BM

Terdapat bukti awal Samsung tidak sertakan pengecas bersama Samsung Galaxy S21!

Baru-baru ini, Apple telah melakukan langkah drastik dengan tidak menyertakan pengecas bersama peranti mereka termasuklah Apple Watch Series 6, Apple Watch SE dan siri iPhone 12. Sumber kini melaporkan bahawa terdapat bukti awal mengenai Samsung yang tidak menyertakan pengecas bersama dalam kotak Samsung Galaxy S21.

Untuk pengetahuan anda, siri Samsung Galaxy S21 dijangka hadir pada Januari 2021 ini. Bukti awal ketiadaan pengecas bersama dilihat melalui kemunculannya di pengesahan ANATEL, Brazil. Terjemahan dalam dokumen di atas menyatakan bahawa “Telefon ini tidak akan dijual bersama pengecas”. Namun, ia turut menyatakan tentang peranti telah diuji dengan pengecas Samsung nombor model; EP-TA800 dan EP-TA800B. Beberapa fon telinga model Samsung turut diuji dengan peranti ini.

Perlu diingatkan bahawa ini adalah bukti untuk spekulasi awal sahaja dan bukan berita rasmi dari Samsung. Agak mustahil untuk pengguna di Brazil tidak mendapat pengecas kerana Brazil terdahulu telah mengeluarkan arahan untuk Apple membekalkan pengecas bersama siri iPhone 12.

Jika Samsung benar-benar tidak menyertakan pengecas, mungkin langkah Apple untuk lebih mesra alam ini bakal diikuti oleh beberapa jenama lain juga.

Apakah pandangan anda mengenai hal ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Semak berita lepas mengenai gambar dan spesifikasi siri Samsung Galaxy S21!

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version