Jenama kenderaan elektrik (EV) popular Tesla bakal mengumumkan pelancarannya secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada 20 Julai 2023. Pengumuman ini dibuat empat bulan selepas ia disahkan oleh kerajaan Malaysia.
Pelancaran ini akan dilaksanakan di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur. Dalam sebuah jemputan media, Tesla berkata mereka akan berkongsi misi Tesla dalam menggunakan kenderaan elektrik untuk menghasilkan masa depan yang lebih lestari.
Mereka juga akan mengumumkan “Tesla Masterplan” yang memberi peluang kepada pihak media untuk menerokai teknologi Tesla dan pembangunan masa hadapan.
Buat masa ini, masih tidak diketahui apakah model EV Tesla yang akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, namun besar kemungkinan Model Y dan Model 3 akan diperkenalkan seperti di Singapura dan Thailand.
Sebelum ini, Tesla dilihat sedang mencari tenaga pekerja dalam kalangan rakyat Malaysia dan beberapa komponennya sudah pun mendapat pengiktirafan SIRIM.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

