Perlumbaan untuk gelaran pengeluar kenderaan elektrik (EV) nombor satu dunia kembali berubah apabila Tesla berjaya merampas semula kedudukan teratas daripada BYD bagi suku pertama 2026. Berdasarkan data terkini, Tesla merekodkan penghantaran sebanyak 358,023 unit kenderaan elektrik tulen (BEV) di peringkat global antara Januari hingga Mac.
Ia meningkat 6.5% berbanding tempoh sama tahun lalu. Dalam tempoh sama, BYD yang sebelum ini mendahului pada penghujung 2025 mencatatkan penurunan ketara bagi segmen BEV. BYD hanya menghantar 310,389 unit iaitu merosot 25.5% tahun ke tahun dan ketinggalan hampir 48,000 unit di belakang Tesla.
Prestasi ini dipengaruhi perubahan dasar di China termasuk subsidi EV yang kini dihadkan kepada 12% dengan siling maksimum RMB20,000 serta pengenalan semula cukai jualan 5% ke atas kenderaan elektrik. Kelebihan Tesla banyak disokong oleh operasi global khususnya kilang di Shanghai yang menghasilkan 213,398 unit dalam suku pertama.
Angka tersebut mewakili lebih separuh daripada jumlah jualan dunia. Selain itu, Tesla turut memperkenalkan pakej pembiayaan agresif di China termasuk pinjaman sehingga tujuh tahun dengan kadar faedah rendah. Walaupun kehilangan takhta, BYD masih menunjukkan momentum pemulihan dengan jualan keseluruhan mencecah 300,222 unit pada Mac sahaja.
Dengan sokongan kerajaan tempatan dan peningkatan harga bahan api, persaingan antara kedua-dua gergasi EV ini dijangka terus sengit sepanjang 2026. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: SCMP

