Site icon TechNave BM

Tiada lagi kamera X-ray OnePlus 8 Pro, sekaligus kuburkan niat tidak baik pengguna

Terkini, OnePlus secara rasminya sedang menguburkan fungsi kamera Photochrome (seperti kamera X-ray) secara global melalui kemas kininya yang terkini. Apa pun, kelumpuhan fungsi ini hanya bersifat sementara, bukan selamanya.

Sebenarnya, kami telah memaklumkan mengenai OnePlus yang mengumumkan mereka akan melumpuhkan ‘color filter’ (Photochrome) pada kamera OnePlus 8 Pro buat sementara. Namun, sumber terdahulu menyatakan ianya bakal dilumpuhkan di China sahaja.

Kemas kini Oxygen OS 10.5.9.IN11AA telah hadir dan menjanjikan bahawa fungsi ini bakal hadir kembali dengan perancangan lebih baik. Sementara di India, kemas kini Oxygen OS 10.5.9.IN11DA juga merupakan kemas kini sama yang membuang filter kamera tersebut. Fungsi ini sebenarnya menarik, tetapi OnePlus perlu hadir dengan aturan yang lebih baik untuk mengelakkan pengguna daripada menggunakannya untuk perkara yang tidak baik seperti pencerobohan privasi.

Sumber menjangkakan kemas kini ini bakal hadir di seluruh dunia, tetapi mengambil masa untuk sampai ke negara-negara lain. Kami menjangkakan hal yang sama untuk pengguna di negara Malaysia. Beritahu kami di laman Facebook jika anda sudah menerima kemas kini ini dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: GSMArena

Exit mobile version