Site icon TechNave BM

Tiada lagi storan percuma tanpa had untuk Google Photos, Google Docs bermula 1 Jun 2021

Berita ini merupakan berita penting untuk pengguna akaun Google yang melibatkan perkhidmatan Google Drive, Google Photos, Google Docs, Google Sheets, Google Slides, Google Drawings, Google Forms dan Google Jamboard. Terkini, Google telah mengubah polisi penggunaan Google Account dimana fail yang disimpan dalam Google Photos, Google Docs dan kesemua yang dinyatakan tidak lagi percuma tanpa had bermula 1 Jun 2021.

Google kini memaklumkan bahawa fail dalam Google Photos, Google Docs, Google Slides, Google Drawings dan lain-lain akan dikira dalam kuota 15GB. Ini bermakna tiada lagi storan percuma tanpa had untuk servis Google yang dinyatakan. Contohnya, fail Google Docs, Sheets, Slides akan dikira sebagai sebahagian dari kuota storan untuk Google Drive. Fail sandaran data WhatsApp anda juga dikira sebagai sebahagian dari kuota 15GB ini.

Untuk Google Photos, kesemua fail termasuklah gambar dan video anda yang telah dimuat naik sebelum ini tidak akan dikira dalam kapasiti storan. Hanya fail yang dimuat naik atau diubahsuai bermula 1 Jun 2021 akan dikira. Fail-fail yang disimpan atau diubah suai selepas itu akan dikira sebagai bahagian dalam kuota 15G. Oleh kerana tiada lagi storan tanpa had percuma untuk Google Photos dan yang berkaitan, perkongsian storan 15GB untuk semua fail agak sedikit. Apa pun, anda masih boleh menguruskan fail-fail anda sebelum 1 Jun 2021.

Jika anda memiliki akaun Google untuk mana-mana servis contohnya Google Drive dan anda tidak aktif selama 2 tahun, Google akan memadam kandungan di dalam akaun tersebut. Google juga akan memadam kandungan atau fail jika melebihi storan yang ditetapkan. Apa pun, anda akan menerima notifikasi sebelum fail tersebut dipadam.

Google dalam kemas kini polisinya menyarankan agar pengguna melanggan Google One, tetapi berfokuskan kepada Google Drive dan servis premium sahaja. Anda boleh membaca maklumat lanjut di Help Center.

Apakah pandangan anda mengenai hal ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Google

Exit mobile version