Site icon TechNave BM

TikTok akui pekerjanya boleh pilih video yang ingin ditularkan

Perkhidmatan media sosial popular TikTok mengesahkan bahawa para pekerjanya di Amerika Syarikat (AS) boleh mengawal dan memilih video yang ingin ditularkan, bagi meningkatkan pendedahan untuk selebriti dan pencipta kandungan tertentu.

Menurut sebuah laporan daripada Forbes, TikTok mempunyai sebuah butang pemanas (heating) yang boleh meningkatkan jumlah tontonan untuk sebuah video dan menyiarkannya dalam lebih banyak laman For You Page (FYP) di kalangan pengguna. Dengan langkah ini, ia menepikan algoritma yang sepatutnya menunjukkan kandungan video berdasarkan minat-minat pengguna sahaja.

Dalam sebuah kenyataan rasmi, wakil TikTok berkata mereka akan “memanaskan” sebuah video bagi meningkatkan kepelbagaian genre video yang ditonton dan bukannya untuk mempromosikan sebuah individu atau organisasi tertentu. Beliau turut berkata bahawa jumlah video yang “dipanaskan” adalah sedikit sahaja iaitu sekitar 0.002% daripada jumlah video yang dipaparkan dalam FYP.

Sungguh pun demikian, beberapa dokuman dalaman TikTok berkata jumlah video yang “dipanaskan” adalah sekitar 1 ke 2 peratus daripada jumlah video yang ditonton.

Video yang telah “dipanaskan” ini tidak mempunyai sebarang label atau tanda yang menunjukkan ia telah dipilih oleh TikTok, berlainan dengan video-video iklan atau kandungan bertaja (sponsored content) yang selalunya mempunyai tanda tersendiri.

Ini bermaksud TikTok boleh memberi pendedahan yang lebih tinggi kepada pencipta video yang mempunyai hubungan yang lebih erat dengan syarikat tersebut. Forbes melaporkan kakitangan TikTok pernah “memanaskan” video yang dihasilkan oleh rakan-rakan, ahli keluarga atau dalam akaun mereka sendiri.

Selain itu, ia juga menyukarkan pengguna untuk mengetahui video manakah yang telah “dipanaskan” oleh Tiktok atau pun tidak. Pencipta kandungan pula mungkin akan hampa jika video mereka tidak boleh tular kerana terdapat video lain yang telah dipilih terlebih dahulu oleh kakitangan TikTok.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Forbes

Exit mobile version