Site icon TechNave BM

TikTok bukan sekadar “scroll”, 85% pengguna Malaysia cari ilmu di sini

Kajian terbaharu oleh firma perunding Kearney mendapati sekitar 80% pengguna TikTok di Malaysia menggunakan platform berkenaan untuk tujuan pembelajaran, pendedahan budaya dan kesejahteraan diri. Kajian yang melibatkan 1,003 responden rakyat Malaysia tersebut mengkaji corak penggunaan serta impak pencipta kandungan tempatan terhadap komuniti.

Dapatan kajian menunjukkan 85% responden menggunakan TikTok untuk mendapatkan pengetahuan mengenai pelbagai topik manakala 72% menyatakan platform ini menyokong peningkatan kemahiran bagi perkembangan kerjaya dan akademik.

Daripada sudut sosial dan ekonomi, 84% responden bersetuju TikTok membantu menghubungkan pelbagai budaya dan 65% merasakan ia memupuk rasa kekitaan. Platform ini turut dimanfaatkan oleh pencipta kandungan menerusi siri kesedaran budaya, usahawan tempatan yang menawarkan makanan tradisional mesra Muslim di TikTok Shop serta berkongsi ilmu biodiversiti.

Aktivis turut menggunakan TikTok bagi tujuan pendedahan sivik selain kajian merekodkan 79% responden menggunakan platform ini untuk meneroka hobi baharu. Menerusi dapatan yang sama, 77% responden memanfaatkan TikTok untuk meredakan tekanan emosi dengan sokongan daripada organisasi kesihatan mental seperti The Inner Lynk, MIASA Malaysia dan Sage Centre.

Kajian Kearney ini dijayakan melalui tinjauan terhadap responden berumur 18 hingga 60 tahun ke atas. Daripada jumlah sampel tersebut, seramai 990 responden merupakan pengguna aktif yang mengakses TikTok sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version