Site icon TechNave BM

TikTok hadkan masa tontonan kepada 40 minit sahaja sehari untuk golongan remaja

Selepas waktu gaming mereka telah dihadkan oleh kerajaan China, kini golongan remaja dalam negara tersebut bakal mengalami satu lagi kekangan masa untuk hobi mereka iaitu dalam platform media sosial TikTok atau lebih dikenali sebagai Douyin di China.

Pengguna bawah umur 14 tahun kini hanya dibenarkan untuk menonton video Douyin selama 40 minit sahaja sehari. Selain itu, mereka hanya dibenarkan untuk menontonnya di antara 6:00 petang hingga 10:00 malam sahaja.

Menurut syarikat pembina aplikasi itu, ByteDance, pengguna Douyin yang berumur bawah 14 tahun akan diletakkan dalam “mod remaja” (teenage mode) secara automatik untuk menguat kuasakan had masa itu. Ia juga menggesa ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mendaftarkan akaun Douyin menggunakan maklumat identiti sebenar.

Pesaing aplikasi Douyin di China yang bernama Kuaishou juga telah memperkenalkan “mod remaja” untuk mengehadkan masa tontonan, tetapi ia tidak diwajibkan. Perlu diingati bahawa tindakan ByteDance ini adalah di bawah inisiatif mereka sendiri dan bukannya dikuat kuasakan oleh kerajaan China seperti dalam had masa gaming.

Adakah anda bersetuju jika langkah serupa diperkenalkan dalam TikTok? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Sixth Tone

Exit mobile version