Site icon TechNave BM

TikTok Malaysia tidak akan bertoleransi dengan kandungan yang mengungkit tragedi 13 Mei

Dalam sebuah kenyataan kepada TechNave, TikTok Malaysia mengesahkan bahawa mereka mengamalkan prinsip sifar toleransi terhadap sebarang ucapan berbaur kebencian serta kegiatan ganas yang disebarkan dalam platformnya.

Kenyataan ini dibuat selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam mengatakan terdapat banyak kandungan berbaur kebencian yang tular dalam media sosial baru-baru ini, di mana para penggunanya mengungkit tragedi berdarah 13 Mei 1969 selepas parlimen tergantung berikutan daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Jika terdapat sebarang video atau kandungan yang mengungkit kejadian 13 Mei 1969, ia akan dibuang segera kerana ia merupakan pelanggaran Garis Panduan (Community Guidelines) TikTok.

TikTok Malaysia akan terus memantau sebarang bentuk kandungan yang berunsur kebencian, termasuklah video, audio, siaran langsung, gambar, komen, pautan dan lain-lain teks. Para pengguna juga boleh melaporkan sebarang kandungan yang berbahaya dengan hanya menekan lama pada sebuah video dan klik “Lapor (Report)“.

Selain itu, TikTok Malaysia akan kekal berhubung dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang akaun yang terlibat dalam pelanggaran Garis Panduannya.

Kami berharap para pengguna media sosial di Malaysia akan terus sabar dan bertenang sementara menunggu status kerajaan baharu kelak. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version