TikTok Shop Malaysia mengumumkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 6% ke atas Yuran Penghantaran Sebenar bagi perkhidmatan berkaitan penghantaran yang dikenakan kepada penjual bermula 1 September 2026.
Langkah ini diambil susulan pertukaran entiti logistik platform di Malaysia daripada Tokgistics Pte. Ltd. kepada TikTok Shop (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi mengikut keperluan cukai tempatan. Cukai merangkumi perkhidmatan logistik berkaitan penghantaran, pengedaran serta pengangkutan barangan, dokumen atau bungkusan melalui platform.
SST 6% juga tertakluk kepada Caj Pesanan Tidak Berjaya termasuk Caj Penghantaran Awal dan Caj Penghantaran Pemulangan. Bagi mengurangkan impak sepanjang tempoh peralihan, TikTok Shop menyerap sepenuhnya bayaran SST 6% bagi pihak penjual bermula 1 September hingga 6 September 2026.
Penjual hanya akan mula dikenakan potongan cukai perkhidmatan berkenaan secara rasmi bermula jam 00:00 pada 7 September 2026. Pengiraan kadar cukai baharu ini bergantung kepada masa pesanan dicipta oleh pembeli. Pesanan yang dicipta pada atau sebelum 11:59 malam 31 Ogos 2026 tidak akan dikenakan SST walaupun barang dihantar pada bulan September.
Manakala pesanan yang dibuat bermula 1 September dan seterusnya akan dikira mengikut polisi baharu. Amaun SST 6% yang dikenakan ke atas Yuran Penghantaran Sebenar akan dipaparkan secara automatik dalam bahagian Pecahan Pelangsaian Penjual di platform bermula tarikh pelaksanaan tersebut.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: TikTok

