Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan bahawa dua platform media sosial popular telah menerima lesen media sosial untuk terus beroperasi dalam negara, iaitu platform perkongsian video pendek TikTok serta platform permesejan WeChat.
Ia didahului oleh Tencent (pemilik WeChat) yang menjadi syarikat pertama yang menerima Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (Applications Service Provider Class, ASP(C)) daripada kerajaan, diikuti oleh ByteDance (pemilik TikTok) yang menerima lesen sama.
MCMC juga melaporkan dua lagi syarikat sedang menjalani proses pelesenan iaitu Meta (pemilik Facebook, Instagram dan WhatsApp) serta Telegram.
Sementara itu, dua lagi platform media sosial yang popular masih belum membuat pendaftaran untuk lesen APS(C) mereka iaitu X dan Google. X mengatakan jumlah pengguna di Malaysia masih belum mencecah jumlah yang diperlukan untuk lesen tersebut iaitu lapan juta pengguna. MCMC kini sedang meneliti kesahihan kenyataan oleh X itu.
Untuk Google pula, MCMC mempunyai beberapa isu berkaitan ciri-ciri perkongsian video di YouTube serta klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan. Kedua-dua pihak akan terus berbincang bagi memenuhi kriteria pelesenan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: BERNAMA

