Site icon TechNave BM

Tinder akan perkenalkan fungsi panggilan video tidak lama lagi

Sewaktu perintah kuarantin dilaksanakan di serata dunia, nampaknya bukan sahaja kesihatan dan pekerjaan yang terjejas namun aktiviti sosial seperti berpacaran juga kini tidak dapat dilakukan. Bagi membantu mereka yang sedang mencari cinta sewaktu penjarakan sosial ini, Tinder akan memperkenalkan fungsi panggilan video dalam tahun ini.

Sewaktu artikel ini ditulis, ciri video yang terdapat dalam Tinder sekarang hanyalah klip GIF pendek yang boleh dipaparkan pada profil pengguna. Jika panggilan video diperkenalkan, pengguna mungkin boleh berhubung dengan padanan (match) mereka melalui video selain daripada teks seperti biasa.

Pengumuman ini dibuat oleh syarikat yang memiliki Tinder, Match Group, dalam laporan kewangan suku pertama 2020. Syarikat tersebut menyatakan terdapat peningkatan sehingga 37% dalam leretan (swipe) di Tinder untuk mencari pasangan sewaktu wabak COVID-19. Manakala trafik permesejan teks dalam aplikasi tersebut juga meningkat sebanyak 27%.

Masih tidak pasti jika Tinder boleh mengawal sebarang tingkah laku yang tidak dikehendaki dalam panggilan video, seperti yang berlaku dalam Zoom. Beritahu kami di Facebook jika anda menggunakan Tinder dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Match Group Q1 2020 Letter to Shareholders

Exit mobile version