Site icon TechNave BM

TM pulihkan 85% perkhidmatan di kawasan yang terjejas akibat banjir

Telekom Malaysia Berhad (TM) telah memaklumkan bahawa perkhidmatan telekomunikasi yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini, telah pun pulih sebanyak 85% di kawasan-kawasan terlibat. Seramai 84,274 pelanggan di kawasan banjir telah pun menerima kembali perkhidmatan TM selepas ia terputus pada 19 Disember 2021.

Selain itu, TM juga bakal memeperuntukkan RM13 juta bagi menggantikan Peralatan Premis Pelanggan (CPE) dan komponen rangkaian yang rosak secara percuma kepada para pelanggan. Mereka turut memperuntukkan RM5 juta bagi mengecualikan caj langganan daripada bil pelanggan untuk tempoh dua minggu.

Untuk meringankan beban kewangan mangsa banjir, TM akan melanjutkan terma kredit selama 60 hari.

Bencana banjir baru-baru ini telah menjejaskan lebih daripada 15 lokasi rangkaian dan stesen-stesen bukit di empat buah negeri. Keadaan jalan raya yang teruk serta paras air yang tinggi juga telah menghalang pasukan TM untuk mengakses lokasi-lokasi tersebut.

Bagi membantu mangsa banjir, Lembaga Pengarah TM telah memperuntukkan RM2 juta bagi membantu usaha pemulihan dan pembinaan semula. Yayasan TM serta sukarelawan TM Reaching Out Volunteers turut bekerjasama dengan Angkatan Tentera dan Penyelamat Malaysia serta rakan-rakan NGO bagi mengedarkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version