Site icon TechNave BM

TM sediakan internet lebih pantas ke kawasan luar bandar, pedalaman melalui PoP

Telekom Malaysia Berhad (TM) telah mengumumkan ketersediaan hab rangkaian gentian optik baharunya atau point of presence (PoP) fasa satu di seluruh wilayah utara, Sabah dan Sarawak. PoP merupakan titik pertemuan peranti berbeza yang terhubung antara satu sama lain ke internet.

Dengan menyediakan lokasi PoP berhampiran sekolah, penduduk di kawasan luar bandar dan terpencil boleh mendapatkan perkhidmatan internet yang lebih baik serta pantas di rumah dan bukannya bergantung pada internet mudah alih sahaja. Ini akan meningkatkan akses dan ketersambungan internet untuk lebih ramai orang dalam komuniti.

PoP baharu ini merupakan satu langkah penting dalam usaha Kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan menggalakkan keterangkuman di seluruh Malaysia. Sebanyak 4,370 PoP telah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di mana 4,323 PoP akan dibina berhampiran sekolah luar bandar dan 47 PoP berhampiran kawasan perindustrian.

Fasa satu projek itu melibatkan 677 lokasi dan selebihnya akan dilaksanakan di bawah fasa dua dalam tempoh tiga tahun iaitu 2022-2025. Sebanyak 233 PoP di bawah fasa 1 telah siap dibina oleh TM secara 100%. Melalui inisiatif ini, pengguna di kawasan PoP TM kini telah mencapai lebih 9,000 orang dan semakin meningkat.

Untuk fasa kedua projek PoP, TM telah dilantik untuk melaksanakan projek di 174 lokasi di wilayah tengah. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini. 

Exit mobile version