Site icon TechNave BM

TM tawarkan percubaan unifi Home secara percuma selama 30 hari

Walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidaklah setegas PKP dan beberapa syarikat kini sudah memulakan operasi seperti biasa di premis masing-masing, masih ramai rakyat Malaysia yang bekerja di rumah bergantung kepada internet untuk melaksanakan pekerjaan mereka.

Bagi memudahkan orang ramai, Telekom Malaysia (TM) menawarkan pakej internet unifi Home percuma selama 30 hari untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan internet. Terdapat juga pelan ansuran mudah untuk produk Wi-Fi Mesh bagi membolehkan pelanggan untuk kekal berhubung di rumah tanpa gangguan, terutamanya yang tinggal di kediaman bersaiz besar.

Pihak sub-kontraktor TM dan jurutekniknya dibenarkan untuk melaksanakan pemasangan internet di kawasan perumahan sewaktu PKPB, namun langkah-langkah pencegahan masih perlu diambil. TM telah menjamin bahawa pasukan teknikalnya akan mengambil langkah-langkah sewajarnya seperti pemeriksaan suhu sebelum memulakan kerja, memakai topeng setiap masa dan menjaga kebersihan tangan.

Ini bukanlah kali pertama TM menawarkan percubaan percuma namun jika kawasan anda sudah pun mendapat liputan, mungkin ini adalah waktu yang baik untuk melanggan unifi Home. Beritahu kami di Facebook jika anda akan berdaftar melalui tawaran ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version