Kerajaan Persekutuan telah mengesahkan bahawa tol percuma semasa musim perayaan tidak lagi akan ditawarkan bermula tahun ini. Sebaliknya, pendekatan lebih bersasar akan dilaksanakan termasuk pemberian diskaun tol sebanyak 50% seperti yang telah dilakukan semasa sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, inisiatif diskaun tol 50% ini akan menggantikan skim tol percuma yang diperkenalkan sebelum ini. Beliau menjelaskan bahawa langkah ini diambil bagi mengurangkan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam memberi pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
Tambahnya, sebanyak lapan hari dalam setahun diperuntukkan bagi pelaksanaan diskaun tol 50% dengan kerajaan membayar sebanyak RM80 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya. Jumlah ini adalah separuh daripada RM160 juta yang digunakan untuk inisiatif tol percuma pada tahun sebelumnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kos diskaun tol ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan melalui dana awam dan tidak melibatkan sumbangan daripada syarikat konsesi lebuh raya. Langkah ini menerima pelbagai reaksi dengan ada yang menyokong kerana mengurangkan beban kewangan negara sementara yang lain merasakan tol percuma lebih menguntungkan pengguna.
Apa pandangan anda mengenai keputusan terbaharu kerajaan ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Bernama

