Site icon TechNave BM

Tol sedang dibina di laluan Genting Highlands, pengunjung bakal dikenakan caj

Sesiapa yang ingin mengunjungi Genting Highlands selepas ini perlu membayar tol tidak lama lagi menurut jurucakap syarikat yang menguruskan jalan raya di tanah tinggi itu. Baru-baru ini, gambar struktur yang sedang dibina di jalan Batang Kali-Gohtong Jaya menjadi tular dengan netizen membuat spekulasi bahawa ia mungkin plaza tol.

Menurut Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd berkata firma itu akan menguruskan operasi tol dengan pemandu dikenakan bayaran apabila menuju ke Genting dan bukan dalam perjalanan turun. Bagaimanapun, jurucakap itu berkata beliau tidak dapat mengesahkan bila tol akan bermula dan berapa banyak caj yang dikenakan.

Beliau juga berkata Genting Malaysia Bhd membina jalan raya di tanah tinggi pada pertengahan 1960-an dan telah menyelenggaranya sejak itu. Tambahnya, Lingkaran Cekap bertanggungjawab ke atas kerja-kerja jalan raya Genting termasuk menyelenggara cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, lampu jalan dan yang paling penting ialah menyelenggara jalan raya.

Jurucakap itu menolak khabar angin bahawa tol akan mula beroperasi pada Jun 2024 dengan caj ditetapkan antara RM2.50 dan RM3. Beliau berkata lebih banyak perbincangan mesti diadakan sebelum pengumuman rasmi boleh dibuat. Beliau berkata caj itu akan mengambil kira kerja penyelenggaraan yang perlu dijalankan di jalan raya dan kos yang berkaitan dengannya.

Menurut laporan tahunan 2022, Genting mempunyai 49.4% kepentingan dalam Lingkaran Cekap. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: FMT

Exit mobile version