Site icon TechNave BM

Touch n’ Go eWallet bantu penggunanya yang telah menjadi mangsa transaksi mencurigakan berjumlah RM3,000

Baru-baru ini, seorang pengguna Touch ‘n Go (TnG) eWallet di Johor menjadi mangsa transaksi yang tidak disahkan apabila hampir RM3,000 daripada akaun bank beliau telah dipindahkan (reloaded) ke akaun TnG-nya dalam masa sejam. Menurut netizen Facebook bernama Apple Chong, beliau mendapat beberapa notifikasi sewaktu bekerja bahawa jumlah RM3,000 telah dipindahkan daripada kad debitnya tanpa izin daripada beliau.

Apple membuat laporan polis berkenaan kejadian ini dan TnG eWallet sudah pun menghubungi beliau untuk tindakan sewajarnya. Menurut sebuah kenyataan daripada TnG Digital, kes tersebut sudah pun diselesaikan. Akaun TnG eWallet Apple telah diselamatkan dan pampasan sudah pun diberikan kepada Apple seperti yang tertera dalam Polisi Jaminan Pulangan Wang (Money-Back Guarantee Policy).

Dalam pada itu, Apple menasihati pengguna di Facebook agar berwaspada dengan kemudahan penyimpanan maklumat kad (saved card feature) dalam TnG eWallet kerana sesiapa yang mempunyai akses kepada akaun TnG boleh melakukan pindahan secara mudah (instant reload). Masih tidak jelas bagaimana transaksi yang mencurigakan itu boleh berlaku pada asalnya. Mungkin ada orang di luar sana yang telah mendapatkan nombor telefon Apple dan pin enam digit untuk mengakses akaun TnG eWallet beliau.

Mujur situasi ini selesai dengan baik, hasil daripada Apple yang mengesahkan (verified) akaun TnG eWallet-nya dan tindakan pantas daripada TnG. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Soya Cincau

Exit mobile version