Para pengguna e-dompet Touch ‘n Go eWallet yang akan melancong ke luar negara kini boleh membuat pembayaran untuk teksi apabila mereka melawat beberapa negara Eropah terpilih iaitu Sepanyol, Jerman, Ireland, Itali, Perancis, Greece dan Austria.
Apabila melawat mana-mana negara di atas, pengguna Touch ‘n Go eWallet boleh menempah teksi menggunakan perkhidmatan FREENOW yang terdapat dalam aplikasi e-dompet tersebut dan membuat pembayaran seperti dalam Malaysia. FREENOW merupakan sebuah aplikasi tempahan teksi yang popular di Eropah, namun pengguna Touch ‘n Go eWallet tidak perlu memuat turun FREENOW kerana ia sudah pun terdapat dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet.
Kemudahan ini disediakan dengan kerjasama syarikat pembayaran rentas sempadan Alipay+ dan ia turut disertakan dalam aplikasi Alipay (China) dan AlipayHK (Hong Kong).
Ini merupakan fungsi pembayaran antarabangsa terbaharu oleh Touch n’ Go eWallet bagi memudahkan para penggunanya sewaktu melawat negara-negara luar. Sebelum ini, Touch ‘n Go eWallet membenarkan pembayaran di negara-negara popular seperti Thailand, Jepun dan China bagi memudahkan semua pembayaran dan melakukannya seperti dalam Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika fungsi ini menarik minat anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

