Site icon TechNave BM

Touch ‘n Go eWallet perkenalkan fungsi DuitNow untuk pindahkan wang dari akaun bank ke e-dompet

Bermula minggu ini, pengguna e-dompet Touch ‘n Go eWallet boleh mengaktifkan fungsi DuitNow Transfer yang membenarkan pengguna untuk memindahkan wang daripada akaun perbankan internet ke dalam eWallet dalam masa nyata (real time).

Touch ‘n Go eWallet sudah pun boleh diterima dalam lebih sejuta perniagaan yang menerima pembayaran DuitNow QR dan pengenalan DuitNow Transfer ini dijangka akan meningkatkan lagi penggunaan e-dompet itu. Jika anda tidak pernah menggunakan DuitNow Transfer sebelum ini, anda hanya perlu menyatakan nombor telefon bimbit atau nombor akaun Touch ‘n Go eWallet untuk memindahkan wang.

DuitNow Transfer adalah fungsi yang diuruskan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), iaitu infrastruktur utama untuk perkhidmatan kewangan tempatan. Ini adalah fungsi PayNet kedua yang diperkenalkan dalam Touch ‘n Go eWallet, selepas DuitNow QR.

Pengguna Touch ‘n Go eWallet juga boleh memanfaatkan fungsi jaminan pulangan tunai (money-back guarantee) yang menjanjikan pemulangan wang penuh jika terdapat sebarang pembayaran atau pemindahan wang yang mencurigakan. Jaminan tersebut hanya layak dituntut dalam masa lima hari selepas transaksi dilakukan.

Layari laman web Touch ‘n Go eWallet untuk maklumat lanjut tentang fungsi ini. Beritahu kami di Facebook jika anda akan menggunakannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version