Site icon TechNave BM

Toyota umum kerjasama dengan Xiaomi dan HUAWEI, pengeluaran terus dari China

Toyota melalui kerjasama GAC Toyota telah mengumumkan strategi teknologi baharu di China yang melibatkan kenderaan elektrik, perisian pintar dan kerjasama dengan syarikat teknologi tempatan seperti HUAWEI, Xiaomi dan Momenta. Dua platform baharu diperkenalkan iaitu satu khusus untuk kenderaan elektrik bersaiz kompak dan sederhana seperti model bZ3X dan satu lagi platform multi-tenaga untuk BEV, PHEV dan REEV yang menyokong model besar seperti bZ7.

Model bZ7 yang merupakan sebuah sedan premium dengan sensor LiDAR dijangka dilancar pada Mac 2026. Toyota juga sedang mempercepat pelancaran sistem hibrid generasi kelima dan membangunkan generasi keenam. Sistem PHEV berprestasi tinggi pula akan digunakan menjelang 2027 pada model seperti Sienna dan Highlander buatan China.

Melalui kerjasama dengan Xiaomi, Toyota akan menyepadukan peranti pintar seperti tablet dan pembesar suara ke dalam sistem kereta bermula dengan bZ7. Ini membolehkan pengalaman sambungan lancar antara rumah dan kenderaan dalam satu ekosistem pintar. Dalam kerjasama berasingan, model bZ7 turut menjadi kenderaan Toyota pertama yang menggunakan sistem HarmonyOS 5.0 daripada HUAWEI bersama cip Kirin dan skrin besar 15.6 inci.

Toyota dan HUAWEI juga sedang membangunkan pembantu suara AI bersama Tencent yang boleh kenal pasti pengguna dan bertindak secara automatik berdasarkan tingkah laku menjelang 2028. Untuk teknologi bantuan pemandu, model bZ3X akan dilengkapkan dengan sistem Momenta 6.0 yang menyokong hampir 50 fungsi pintar termasuk kawalan menggunakan suara dan isyarat tangan serta keupayaan membuat keputusan berdasarkan persekitaran sebenar.

Menjelang 2028, Toyota mahu menggabungkan kecerdasan dalam kokpit dengan sistem bantuan pemandu sepenuhnya. Ini termasuk sensor untuk kesan postur, keletihan dan arah pandangan pemandu supaya kereta dapat menyesuaikan pemanduan secara masa nyata. Toyota juga akan memperkenalkan sistem kawalan casis digital baharu yang mengurangkan olengan badan dan hentakan brek untuk keselesaan lebih baik.

Di samping itu, seni bina elektronik terbaru mereka menyokong lebih 300 modul perisian dan kemas kini OTA penuh. Sistem pengurusan bateri baharu pula dibantu AI dengan ciri keselamatan tambahan termasuk kawalan haba dan struktur penebat baru. Model global penting seperti Camry, Sienna dan Highlander kini dibangunkan terus dari China.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang berita ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Car News China

Exit mobile version