Site icon TechNave BM

Trump tidak ingin kembali ke Twitter walaupun selepas akaunnya diaktifkan semula

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang hasrat untuk kembali ke platform media sosial Twitter. Kenyataan ini dibuat selepas hasil undian (poll) yang dibuat oleh CEO Twitter, Elon Musk, mengatakan majoriti pengguna Twitter ingin melihat Trump kembali ke platform media sosial itu.

Seramai 15 juta pengguna Twitter terlibat dalam undian tersebut, di mana 51.8% daripadanya ingin Trump kembali ke Twitter. Musk turut mengesahkan dalam satu ciapan bahawa Trump akan dikembalikan ke media sosial itu, sambil menyertakan slogan Latin “Vox Populi, Vox Dei (suara rakyat adalah suara Tuhan)”.

Pada waktu ini, akaun Trump (@realDonaldTrump) sudah diaktifkan kembali sejak ia digantung pada 8 Januari 2021 lalu, susulan daripada tindakan beliau dalam menimbulkan kekecohan di bangunan US Capitol, Washington DC pada dua hari sebelumnya.

Sungguh pun demikian, Trump tidak berminat untuk kembali ke Twitter dan sebaliknya lebih selesa dengan platform media sosialnya sendiri, Truth Social, kerana ia mengalami interaksi pengguna yang lebih tinggi. Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk kembali ke Twitter.

Sebelum ini, Trump turut berkata Twitter mempunyai masalah kebanjiran bot dan akaun palsu.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk mengikuti Trump dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version